Perancangan jangka panjang MBO Cinemas dalam industri pawagam | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Temubual

Perancangan jangka panjang MBO Cinemas dalam industri pawagam

Penulis: Ashraf Nasser


Pengarah Operasi MBO Cinemas, Mariam Yazmin ketika pelancaran cawangan terbaru di Kuantan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dapat dilihat rangkaian pawagam MBO Cinemas dilihat begitu agresif dalam melebarkan perniagaan mereka untuk bersaing dengan rangkaian pawagam lain di Malaysia.

Untuk terus kekal dan berdaya saing dalam industri pawagam ini, MBO Cinemas telah melakukan pelbagai perubahan bukan sahaja dari segi operasi, tetapi secara keseluruhan termasuk memperkenalkan teknologi terbaru selain memastikan rangkaian pawagam mereka sentiasa menarik dan mesra pelanggan.

Antara inisiatif yang menjadi penanda aras baru dalam industri pawagam adalah dengan pengenalan teknologi MX4D iaitu kerusi motion di mana penonton akan merasai pengalaman sinematik yang lagi mendalam ketika menonton filem (iaitu kerusi yang bukan sahaja boleh bergerak tetapi juga mengeluarkan asap, air, efek kilat dan bermacam lagi).

Teknologi seperti ini adalah yang pertama di Malaysia, sekaligus memberikan sedikit kelebihan kepada MBO Cinemas berbanding rangkaian pawagam lain. Malah mereka juga memperkenalkan panggung konsep yang dipanggil, Kecil, di mana sebuah panggung khas untuk ibu bapa membawa anak-anak mereka untuk menonton wayang tanpa berasa bimbang anak mereka akan membuat bising.


Selain itu, untuk memastikan keselesaan para pelanggan mereka, pihak MBO Cinemas juga melakukan pengubahsuaian terhadap cawangan sedia ada dengan menaik taraf kemudahan seperti mesra OKU dan juga pengenalan kafe mereka sendiri iaitu Cafecito.

Baru-baru ini ketika pelancaran cawangan terbaru mereka iaitu MBO Cinemas Kuantan City Mall di Kuantan, Pahang, Cinema Online sempat menemubual Pengarah Operasi MBO Cinemas, Mariam Yazmin El Bacha bagi mengetahui lebih lanjut mengenai cawangan terbaru mereka selain perancangan jangka panjang mereka.


Panggung Big Screen yang pasti akan memberi pengalaman sinematik baru buat penonton di Kuantan.

Cinema Online: Boleh kongsi sedikit mengenai cawangan terbaru MBO Cinemas di Kuantan City Mall, dan apa yang istimewanya di sini?

Mariam: Untuk pengetahuan anda, ini bukanlah kali pertama MBO Cinemas membuka cawangan di Kuantan kerana sebelum ini kami pernah ada cawangan, namun sambutan yang kurang memberangsangkan, jadi kami terpaksa menutupnya. Namun kini kami mempunyai lokasi baru iaitu di Kuantan City Mall dan kami sangat berbangga dapat berada di sini dengan objektif utama kami mahu melakukan sesuatu yang berbeza dari pawagam lain yang ada di sekitar Kuantan.

Untuk MBO Cinemas Kuantan City Mall ini, kami memperkenalkan tiga panggung konsep iaitu Big Screen, Kecil dan paling kami teruja adalah MX4D. Seperti yang anda tahu, MBO merupakan yang pertama dan satu-satunya pawagam yang menawarkan teknologi MX4D buat masa ini untuk memberi penonton pengalaman sinematik yang belum pernah mereka rasa sebelum ini.

Lokasi terbaru MBO Cinemas ini sangat hampir dengan dua pusat beli-belah lain yang turut mempunyai pawagam. Jadi tidakkah anda berasa bimbang dengan saingan berikutan jarak antara ketiga-tiga pawagam ini dalam lingkungan tidak sampai 500 meter?

Di sini saya ingin jelaskan bahawa pembukaan cawangan baru kami ini bukanlah mahu bersaing dengan pawagam lain, sebaliknya kami mahu memberikan penduduk di Kuantan dan sekitarnya pengalaman sinematik baru dengan memperkenalkan teknologi terkini yang sebelum ini hanya dinikmati oleh penduduk di Lembah Klang.

Saya tidak merasakan dengan pembukaan cawangan baru kami akan menjejaskan mana-mana pihak, sebaliknya ia akan memberikan penonton lebih banyak pilihan berikutan cawangan terbaru ini menawarkan tiga panggung konsep yang merupakan pertama di kawasan Pantai Timur.


Taman permainan mini dalam panggung Kecil.

Ramai yang teruja dengan panggung MX4D yang mana ia merupakan teknologi pertama seumpamanya di Malaysia, tetapi terdapat dua lagi panggung konsep iaitu Big Screen dan Kecil.

Ya betul, penduduk di sini bertuah kerana mereka mendapat sebuah panggung khas untuk MX4D sahaja di mana ia boleh memuatkan 84 penonton pada satu masa dan menjadi yang pertama di Malaysia berbanding di MBO Cinemas The Starling di Petaling Jaya yang hanya mempunyai 64 kerusi MX4D dan lainnya kerusi kelas Premier dalam satu panggung 'hybrid'.

Dua panggung konsep lain iaitu Big Screen pula menampilkan skrin besar yang mana ia akan memberikan pengalaman menonton wayang yang cukup puas kepada penonton, ditambah dengan sistem bunyi terkini iaitu Dolby Atmos. Manakala panggung Kecil pula diperkenalkan bagi memberi peluang kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil untuk menonton wayang di pawagam.

Sebelum ini ramai ibu bapa yang mengelak membawa anak mereka ke pawagam kerana bimbang akan membuat bising sekaligus akan mengganggu penonton lain yang menonton wayang. Jadi untuk panggung Kecil ini ibu bapa tidak perlu bimbang kerana ia adalah sebuah panggung khas untuk anak kecil di mana dalam panggung ini juga terdapat taman permainan mini di mana mereka boleh bermain, berlari atau menjerit dengan bebas.


Bagi ibu bapa yang membawa stroller bayi, ada tempat untuk anda meletak stroller
di hadapan pintu masuk panggung Kecil.

Apa lagi yang menarik di MBO Cinemas Kuantan City Mall selain panggung konsep?

Antara lain yang menarik yang terdapat di sini adalah kami turut membuka kafe kami sendiri, iaitu Cafecito di mana ia sebuah kafe yang menyediakan pelbagai hidangan snek dan minuman milkshake dan banyak lagi, seperti kafe-kafe di luar sana. Jadi bagi pelanggan yang datang membeli tiket awal atau menunggu tayangan, mereka bolehlah menikmati hidangan terlebih dahulu sebelum masuk ke panggung.

Selain itu, kami juga mempunyai kaunter makanan snek seperti pawagam lain yang menjual popcorn, minuman dan snek-snek ringan untuk di makan ketika berada di dalam panggung.

Jadi selepas di Kuantan, ada perancangan untuk cawangan terbaru?

Ya, memang ada. Dalam tempoh terdekat ini iaitu pada bulan Disember kami akan melancarkan MBO Cinemas Falim Ipoh, Perak. Cawangan terbaru ini akan turut mempunyai panggung konsep seperti MX4D, sekaligus memberi peluang kepada penduduk di utara untuk merasai sendiri menonton wayang di kerusi motion ini.

Itu adalah untuk tahun 2017, manakala untuk tahun 2018 pula kami dalam perancangan untuk membuka di antara empat hingga lima lagi cawangan baru yang mana lokasinya akan diumumkan nanti.

Cinema Online, 17 Okt 2017


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.

Pautan Berkaitan:
Waktu Tayangan