Buletin
Sharifah Amani tolak nama Orked untuk filem Jepun


Tarikh disiarkan: 17 Mac 2016


Sharifah Amani enggan guna nama Orked kerana nama itu pernah dibawanya
dalam dua filemnya sebelum ini.

17 Mac – Pelakon Sharifah Amani memberitahu bahawa dia telah menolak nama watak Orked yang dicadangkan oleh sebuah produksi dari Jepun untuk menjayakan watak dalam filem terbarunya "Pigeon".

"Produksi pada awalnya mahu memberikan nama Orked untuk watak saya ini. Watak Orked menerusi filem "Gubra" dan "Sepet" yang diarahkan oleh Allahyarham Yasmin Ahmad sebenarnya masih diingati di negara itu."

"Bagaimanapun, saya menolaknya dan meminta mereka memberikan nama lain. Malah, mereka turut mencadangkan nama Yasmin sendiri untuk watak tersebut," katanya kepada BH Online.

Berikutan itu, pelakon berusia 30 tahun itu berkata sehingga kini nama untuk wataknya dalam filem itu masih belum diputuskan.

Dalam pada itu, Sharifah berkata dalam filem tersebut dia akan membawa watak sebagai seorang pembantu rumah kepada seorang lelaki tua yang dibawa oleh pelakon dari Jepun.

"Pigeon" adalah salah satu kisah dari projek filem "Asian Three-Fold Mirror" yang mana dua lagi kisah merupakan produksi Kemboja dan Filipina.

Selain Sharifah, "Pigeon" yang diarahkan oleh Isao Yukisada turut dibintangi oleh Masahiko Tsugawa dan Masatoshi Nagase.

Filem itu juga akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Tokyo ke-29 pada Oktober depan.

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide