4 Dis – Setelah hampir dua minggu dirawat di sebuah pusat perubatan di Melaka, pelakon, penyanyi dan pengacara Alif Satar akhirnya disahkan pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga pada Rabu. Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar, telah mengeluarkan sebuah kenyataan di laman Instagram miliknya bagi berkongsi rasa syukur dan penghargaan buat semua pihak yang mendoakan kesihatannya. "Sukacita Alif ingin berkongsi, selepas 12 hari dikuarantin di Hospital Melaka, atas berkat doa seluruh rakyat Malaysia buat Alif sekeluarga, Alif kini kembali sihat dan sudah berada di pangkuan keluarga. "Terima kasih buat semua pihak terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), produksi MuzikMuzik TV3, JS Pictures dan semua rakan industri yang cukup prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil ujian saringan sejurus selepas saya disahkan positif Covid-19," katanya.
View this post on Instagram A post shared by Alif Satar®️ (@alifsatar)
A post shared by Alif Satar®️ (@alifsatar)
Pelakon drama "Pia" itu mengakui berasa terharu dengan semua kata-kata semangat yang diberikan kepadanya sepanjang menerima rawatan dan percaya ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Pada masa yang sama, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu turut menekankan agar seluruh rakyat Malaysia bekerjasama untuk membendung penularan COVID-19 serta menghentikan stigma negatif terhadap golongan yang terkesan. "Alif menyeru semua untuk menjaga kesihatan sekeluarga di samping mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan agar kita dapat menewaskan wabak ini bersama-sama," katanya. Terdahulu, Alif telah disahkan positif COVID-19 pada 22 November lalu. (Sumber foto: Alif Satar Instagram)