Aziz M. Osman akan usahakan tayangan "Leftenan Adnan Director's Cut" di pawagam | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Aziz M. Osman akan usahakan tayangan "Leftenan Adnan Director's Cut" di pawagam

Penulis: Nisa Irina

Orang ramai yakin filem "Leftenan Adnan Director's Cut" akan dapat kutipan tinggi dipawagam.
Orang ramai yakin filem "Leftenan Adnan Director's Cut" akan dapat kutipan tinggi dipawagam.

15 Okt – Penerbit, pengarah dan pelakon Aziz M. Osman sudah pun mempunyai rancangan untuk membawa filem patriotik arahannya, "Leftenan Adnan" ke pawagam dalam versi suntingan pengarah.

Ia susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai setelah filem itu ditayangkan menerusi saluran televisyen berbayar Astro First dalam versi definisi tinggi (HD) pada 27 Ogos lalu.

Perkara itu telah dimaklumkan oleh Aziz sendiri menerusi laman Twitter dan Instagram miliknya, dengan tambahan bahawa pihaknya akan memasukkan adegan terakhir filem yang telah dipotong.

"Atas permintaan, InsyaaAllah saya sedang usahakan filem "Leftenan Adnan" versi suntingan sutradara ke pawagam dan memasukkan kembali adegan terakhir yang dipotong," tulisnya ringkas.

Walau bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perancangan atau tarikh tayangannya masih belum didedahkan buat masa ini.

Seperti yang dilihat menerusi laman Facebook rasmi "Leftenan Adnan Director's Cut", orang ramai berpendapat bahawa filem ini menjanjikan pulangan yang tinggi jika ia ditayangkan di pawagam.

"Leftenan Adnan" mengisahkan perjuangan Leftenan Adnan bin Saidi dalam menentang Tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Filem ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Hairie Othman, Umie Aida, Rambo Chin, Faizal Hussein, Rusdi Ramli, Shaharuddin Thamby dan Wahid Senario.

(Sumber foto: Aziz M. Osman Twitter)

Cinema Online, 15 Okt 2020

Filem Berkaitan:
LEFTENAN ADNAN (Melayu) (31 Ogos 2000)
Waktu Tayangan