Drama komedi "Lock-In" arahan Erma Fatima dapat sambutan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Drama komedi "Lock-In" arahan Erma Fatima dapat sambutan

Penulis: Nisa Irina

"Lock-In" memaparkan gelagat sebuah keluarga mengharungi tempoh PKP.
"Lock-In" memaparkan gelagat sebuah keluarga mengharungi tempoh PKP.

4 Mei – Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak menghalang pengarah dan pelakon tersohor Erma Fatima untuk menghasilkan produksi terbarunya iaitu drama komedi "Lock-In".

Drama komedi itu mengisahkan gelagat sebuah keluarga meluangkan masa dan menyesuaikan diri berada di rumah untuk tempoh lama selepas tempoh pelaksanaan PKP diumumkan.

Seperti yang diumumkan oleh Erma menerusi laman Instagram, drama "Lock-In" menampilkan barisan pelakon ternama seperti Datin Seri Umie Aida, Neelofa, Nora Danish, Remy Ishak, Janna Nick, Sherry Alhadad, serta pelakon Indonesia Baim Wong.

Buat pengetahuan lanjut, penggambaran bagi setiap babak dalam drama itu telah dilakukan di kediaman para pelakon masing-masing.

Rata-rata pengguna media sosial yang telah menonton drama itu telah memuji idea kreatif Erma untuk menghasilkan produksinya biarpun hanya dilakukan di rumah.

"Erma Fatima yang berbakat dan semua pelakon yang versatil! Kuarantin dan duduk rumah pun boleh 'shoot' lah walaupun berada di lokasi yang berbeza.

"Plot episod sahaja dah menarik dan subjek utama telah menarik perhatian saya!" tulis salah seorang penonton di laman Instagram.

Para peminat dan pengguna media sosial boleh menonton drama bersiri yang kini berada dalam episod dua itu menerusi laman Instagram Erma atau mana-mana para pelakon tersebut.

(Sumber foto: Erma Fatima Instagram)

Cinema Online, 04 Mei 2020

Filem Berkaitan:
Manisnya Cinta Di Cappadoccia (Melayu) (11 Dis 2014)


Waktu Tayangan