FINAS jalin kerjasama dengan 4 negara untuk promosi filem tempatan | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

FINAS jalin kerjasama dengan 4 negara untuk promosi filem tempatan

Penulis: Ashraf Nasser

FINAS bakal buka permohonan dana untuk filem kenegaraan bermula 15 Oktober ini.
FINAS bakal buka permohonan dana untuk filem kenegaraan bermula 15 Oktober ini.

2 Okt – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) telah menjalin kerjasama dengan empat buah negara iaitu China, Rusia, India dan Indonesia sebagai langkah awal untuk mempromosikan filem tempatan ke peringkat antarabangsa demi memastikan misi 'Road To Oscars' tercapai.

Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi FINAS iaitu Zakaria Abdul Hamid yang mana kerjasama itu dijalin menerusi keduataan negara tersebut.

"Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang pernah memegang jawatan Menteri Luar memberitahu, setiap kedutaan asing memiliki unit budaya. Tugas unit budaya membantu mempromosikan filem.

"Justeru FINAS akan menjalinkan kerjasama dengan unit berkenaan supaya misi memasarkan filem di luar negara tercapai. Sebelum ini, memang ada syarikat produksi tempatan yang memasarkan filem ke peringkat antarabangsa atau menghantar penyertaan ke festival, tetapi ia dibuat secara persendirian. Usaha ini dilihat agak kurang berkesan jika dibandingkan dengan usaha yang turut dibantu kerajaan," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Dalam pada itu, Zakaria berkata pemilihan empat negara itu adalah berdasarkan reputasi yang ditunjukkan selain mereka mempunyai jumlah penonton yang ramai.

Sebagai permulaan FINAS akan membawa satu filem kenegaraan yang boleh memperkenalkan identiti Malaysia di mata dunia sebelum beralih kepada filem komersial.

Berikutan itu, bermula 15 Oktober ini FINAS akan membuka permohonan dana filem kenegaraan bagi pembikin filem yang berhasarat menghasilkan filem berdasarkan sejarah tanah air.

Sementara itu, Zakaria berkata pihak FINAS akan membuat pemilihan filem yang sesuai untuk dibawa ke luar negara bermula tahun hadapan.

(Sumber foto: FINAS Facebook)

Cinema Online, 02 Okt 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan