Animasi "Kring!" diiktiraf di ReAnima Bergen International Animation Festival 2020 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Animasi "Kring!" diiktiraf di ReAnima Bergen International Animation Festival 2020

Penulis: Nisa Irina

Kejayaan demi kejayaan terus diraih oleh animasi "Kring!".
Kejayaan demi kejayaan terus diraih oleh animasi "Kring!".

19 Nov – Studio animasi Brainy Bones Studios sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa apabila filem animasi pendek terbitan mereka "Kring!" diiktiraf di Festival ReAnima Animasi Antarabangsa Bergen 2020 di Norway.

"Kring!" telah dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik untuk Kanak-Kanak, bersaing dengan 11 lagi penyertaan filem animasi dari seluruh dunia.

Berita gembira itu telah dikongsikan menerusi laman Facebook rasmi Brainy Bones Studios, yang juga anak syarikat Kumpulan Brainy Bunch pada Selasa.

Pengarah "Kring!", Hilmi Ismail turut sama meraikan kejayaan demi kejayaan yang terus diraih pihaknya dengan ucapan penghargaan buat semua yang terlibat dan menyokong animasi bertaraf antarabangsa tersebut.

"Keputusan telah pun diumumkan! Alhamdulillah, "Kring!" telah dinobatkan sebagai Filem Animasi Terbaik untuk Kanak-Kanak di Festival ReAnime di Norway.

"Satu lagi kejayaan buat Brainy Bones dan Malaysia. Terima kasih kepada anda semua! Marilah kita terus berikan inspirasi kepada orang ramai dengan keindahan animasi!" katanya di laman Twitter.

Terdahulu, "Kring!" telah berjaya merangkul anugerah Filem Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 di Lyon, Perancis.

Selain itu, ia turut dipilih sebagai 'Official Selection' di Festival Internacional de Cine de Lebu, Chile, Mi Primer Festival, Lima, Peru, dan 5th Animation Marathon 2019, Athens, Greece.

"Kring!" mengisahkan seorang guru bernama Suraya memainkan peranan membantu seorang murid bernama Mael yang mempunyai masalah disleksia.

Cikgu Suraya bimbang Mael gagal dalam pelajaran tetapi selepas menghabiskan masa melihat lukisannya, dia mendapati Mael sedang belajar dengan cara berbeza.

Akhirnya Cikgu Suraya memutuskan untuk mengambil masa tambahan demi mengajar muridnya menggunakan kaedah yang lebih selesa iaitu menerusi lukisan.

(Sumber foto: Hilmi Ismail Twitter)

Cinema Online, 19 Nov 2020


Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, click HERE.
Waktu Tayangan