Les' Copaque jalin kerjasama dengan Habib Jewels | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Les' Copaque jalin kerjasama dengan Habib Jewels

Penulis: Nisa Irina

Burhanuddin Md Radzi bangga dengan kerjasama Les' Copaque bersama Habib Jewels.
Burhanuddin Md Radzi bangga dengan kerjasama Les' Copaque bersama Habib Jewels.

28 Ogos – Studio animasi Les' Copaque Production menjalinkan kerjasama dengan syarikat barang kemas Habib Jewels bagi melancarkan syiling emas edisi terhad menampilkan karakter animasi kegemaran ramai, "Upin & Ipin".

Jalinan kerjasama itu adalah bersempena dengan kempen Habib's Merdeka Campaign #SokongLokal, di mana Habib turut melancarkan pameran Merdeka Jewelry Exhibition yang berlangsung di pusat beli belah IOI City Mall, Putrajaya, pada Khamis.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi berkata, pihaknya amat berbangga dengan kerjasama itu, tambahan lagi ia dapat membantu mengukuhkan jenama tempatan dalam situasi ekonomi semasa yang tidak menentu.

"Malaysia memiliki banyak jenama yang baik, dan dengan kemunculan pandemik, rakyat kini benar-benar menyokong jenama tempatan," katanya yang dipetik dari Bernama.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Habib Group, Datuk Seri Meer Habib berkata syiling emas itu adalah sebahagian daripada daya usaha Habib bagi memacu serta meningkatkan kemahiran tempatan.

"Membeli barangan tempatan bukan sahaja akan menyelamatkan banyak pekerjaan dan perniagaan, tapi juga akan mendorong pertumbuhan ekonomi negara dan diharapkan menerusi kempen ini, pengguna akan mula membeli lebih banyak barangan tempatan.

"Emas merupakan satu bentuk pelaburan yang amat baik kerana harganya meningkat dari semasa ke semasa, malah harganya telah menyaksikan kenaikan yang luar biasa lebih dari 30 peratus tahun ini," katanya.

"Dengan kedua-dua watak animasi itu menghiasi syiling emas Habib, syiling itu bukan sahaja menjadi barang yang berharga, tapi turut menjadi bahan koleksi yang amat bernilai," katanya.

Syiling emas 24K edisi terhad "Upin & Ipin" seberat 0.2 gram itu kini boleh didapati di semua cawangan Habib Jewels.

(Sumber foto: Les' Copaque Twitter)

Cinema Online, 28 Ogos 2020

Filem Berkaitan:
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal (Melayu) (21 Mac 2019)
Upin Dan Ipin: Jeng Jeng Jeng! (Melayu) (24 Nov 2016)
GENG: PENGEMBARAAN BERMULA (Melayu) (12 Feb 2009)


Waktu Tayangan