Kutipan "Mael Totey The Movie" kini mencecah RM7 juta | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Kutipan "Mael Totey The Movie" kini mencecah RM7 juta

Penulis: Nisa Irina

Tahniah buat Syahmi Sazli dan seluruh kumpulan "Mael Totey The Movie".
Tahniah buat Syahmi Sazli dan seluruh kumpulan "Mael Totey The Movie".

4 Dis – Hampir dua bulan ditayangkan, filem komedi "Mael Totey The Movie" terus mencipta fenomena luar biasa apabila jumlah kutipannya kini berjaya mencecah RM7 juta.

Berita itu telah diumumkan menerusi laman sosial rasmi Astro Shaw dan Instagram milik pengarah "Mael Totey The Movie" yang juga personaliti media sosial, Syahmi Sazli.

"Terima kasih diucapkan kepada semua yang telah memberikan sokongan yang padu dengan menonton dan menjadikan filem "Mael Totey" sebagai filem nombor satu di Astro First sepanjang masa!" katanya.

Perkongsian Syahmi rata-rata dibanjiri dengan ucapan tahniah daripada para peminat serta rakan-rakan selebriti seperti Bella Astillah serta pelawak dan pelakon senior, Saiful Apek.

Baru-baru ini, "Mael Totey The Movie" berjaya menembusi carta lima filem terbaik Astro First dan menduduki tangga tertinggi, melepasi filem antarabangsa "Train To Busan" dan "Vanguard".

Terdahulu, Syahmi tampil bersuara berhubung isu pelakon dan pengarah Ellie Suriaty Omar yang dikatakan mengkritik filemnya kerana tidak mencapai standard sebenar sesebuah penerbitan filem. Syahmi yang menerima kritikan itu dengan terbuka menjelaskan dia hanya mengeluarkan modal RM400 ribu serta tidak menggunakan jenis kamera yang mahal dan canggih seperti produksi filem lain.

"Mael Totey The Movie" dibintangi oleh Syahmi Sazli, Yoe Parey, Asif Suhaimi, Emaleen Minhad, Aween Ismail serta pelakon tanah air seperti Hushairi Hussain, Daler Yusof, Aznah Hamid, Kamarool Yusoff dan ramai lagi

(Sumber foto: Syahmi Sazli Instagram)

Cinema Online, 04 Dis 2020

Waktu Tayangan