Que Haidar tolak tawaran berlakon kerana pengurus produksi tak beretika | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Que Haidar tolak tawaran berlakon kerana pengurus produksi tak beretika

Penulis: Nisa Irina

Que Haidar jelas niat ingin beri pengajaran kepada semua pengurus produksi di luar sana.
Que Haidar jelas niat ingin beri pengajaran kepada semua pengurus produksi di luar sana.

9 Okt – Pelakon Que Haidar menegur sikap segelintir pihak produksi yang enggan mementingkan etika apabila menghubungi pelakon untuk berbincang mengenai tawaran berlakon.

Pemilik nama asal Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar itu berkongsikan tangkapan skrin mesej bersama seorang pengurus produksi yang memberi tawaran telefilem kepadanya, menerusi laman Instagram (IG) miliknya, semalam.

Namun Que terpaksa menolak tawaran tersebut dan menjelaskan pengurus itu sepatutnya menerangkan butiran projek berkenaan terlebih dahulu sebelum bertanyakan soal tarikh.

"Mungkin pelakon lain boleh tutup mata, tetapi saya memang tidak gemar bila anda nak saya menyertai sesuatu projek, anda bertanya tentang tarikh saya dahulu. Maaf sekali lagi. Saya rasa etika kerjanya tak betul.

"Anda sepatutnya bentangkan apa isi projek tersebut, pengarahnya, jalan ceritanya, wataknya, pemain-pemain yang lain, lokasinya dan lain-lain. Biar pelakon itu sendiri bertanyakan tarikh tersebut.

"Ini bukan untuk pelakon saja tetapi gunakan cara ini dengan semua pekerja filem. Maaf sekali lagi saya terpaksa tolak tawaran anda sebelum saya ambil tahu tentangnya," tulisnya.


Tangkapan skrin mesej pengurus produksi yang dikongsi oleh Que di Instagram.

Walau bagaimanapun, perkongsian Que menerima pelbagai pendapat daripada orang ramai dan pihak yang bekerja dalam bidang produksi. Ada yang bersetuju bagi pihak Que, ada juga sebaliknya.

"Rasa betullah itu dari pihak dia. Bayangkan kalau dia dah bagi skrip dan dah jelaskan apa semua tiba-tiba pula awak tak 'free'. Tak ke buang masa namanya. Apa yang tak ada etikanya?" soal seorang pengguna IG.

Lain pula pendapat daripada penulis Ellyna Ahmad yang sudah lama berada dalam industri, malah pernah bekerjasama dengan Que menerusi filem "Ophilia" dan telefilem "Cahaya Malaika".

"Saya faham sangat macam mana nak 'approach' Que ini. Selalunya akan buka dengan "Que, I kan ada watak ini I nak buat untuk you... *terangkan watak*".

"Percayalah kalau dia sibuk macam mana pun tetapi pandai terangkan watak dan cerita itu pasal apa, dia akan jadi 'free' untuk bawa watak itu. Que dah berlakon dalam dua skrip saya, "Ophilia" dan "Cahaya Malaika"," tulisnya.

Dalam pada itu, Que menjelaskan niatnya bukan untuk meminta orang ramai untuk mengecam tindakan pengurus tersebut, sebaliknya ingin memberi pengajaran kepada pihak produksi di luar sana.

(Sumber foto: The Haidars Instagram)

Cinema Online, 09 Okt 2020

Filem Berkaitan:
Ophilia (Melayu) (18 Dis 2014)
Gila Baby (Melayu) (04 Dis 2014)
Rock Oo! Rimba Bara Kembali (Melayu) (28 Feb 2013)


Waktu Tayangan