"Tiada Cinta Selama Muda" sertai Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-31 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Tiada Cinta Selama Muda" sertai Festival Filem Antarabangsa Singapura ke-31

Penulis: Nisa Irina

"Tiada Cinta Selama Muda" akan bertanding dengan enam filem antarabangsa.
"Tiada Cinta Selama Muda" akan bertanding dengan enam filem antarabangsa.

4 Nov – Filem "Tiada Cinta Selama Muda" terpilih mewakili Malaysia untuk tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Singapura (SGIFF) ke-31 yang akan berlangsung pada 26 November hingga 6 Disember 2020.


Berita mengujakan itu telah dikongsi oleh syarikat penerbitan Moka Mocha Ink menerusi laman Facebook dan Twitter rasmi mereka pada Selasa.

Pengarah dan penulis Ridhwan Saidi tidak ketinggalan untuk berkongsi keterujaan dan rasa syukur atas kejayaan filem cereka sulung arahannya yang diiktiraf di luar negara, menerusi laman Twitter miliknya.

"Syukur! Filem 'feature-length' pertama yang manira terajui bersama Ensembel Teater Kaos Nol bakal ditayangkan di 31st Singapore International Film Festival berjudul "Tiada Cinta Selama Muda" atau judul Inggerisnya "No Love For The Young".

"Syabas buat Nurul Aizam, A. Rahman, Hannan Barakbah, Shu Ni, Sadiq M. Jamil, Ani Aziz, Rashid Akhmal, Nyna Roslan, Md. Fariq Khir, Sandee Chew, Paik Yin, Mohd Sazni, Hazel Khairuddin, Pey Sien, Roshafiq Roslee, Fara Kafli dan Mark Lee yang telah sama-sama menjayakan filem ini.

"Khusus buat teman-teman di Singapura, jemput tonton di pawagam atau dalam talian (kita di sini tak boleh tonton sebab ada 'geoblock'). Semoga ada kegembiraan berlarutan buat mereka yang menonton! Kita di sini gembira dari jauh," tulis Ridhwan.

Sehubungan dengan itu, "Tiada Cinta Selama Muda" turut tercalon dalam kategori Pertandingan Cereka Asia, di mana ia akan bertanding dengan filem-filem antarabangsa lain seperti "A Balance" (Jepun), "Beginning" (Perancis), "Tiong Bahru Social Club" (Singapura) dan "The Wasteland" (Iran).

Pembukaan festival filem itu akan dimulakan dengan tayangan filem komedi sulung arahan Tan Bee Thiam, "Tiong Bahru Social Club" dan filem pendek arahan Shoki Lin, "Newborn".

(Sumber foto: Moka Mocha Ink Twitter)

Cinema Online, 04 Nov 2020

Filem Berkaitan:
Roh (Melayu) (06 Ogos 2020) [Trailers]
Two Sisters (Mandarin) (18 Apr 2019)


Waktu Tayangan